Fungsi Bahagian
Pengenalan
Pusat Analisis Industri dan Tarif Kastam berfungsi untuk memberikan perkhidmatan analisis dan nasihat kepada pelbagai agensi kerajaan bagi menyokong penguatkuasaan undang–undang, melindungi pendapatan kerajaan, melindungi kepentingan pengguna dan memastikan keselamatan pekerja.
Terdapat tiga (3) bahagian di bawah Pusat Analisis Industri dan Tarif Kastam iaitu :
- Bahagian Klasifikasi Tarif
- Bahagian Analisis Halal
- Bahagian Keselamatan Kimia
Perkhidmatan yang ditawarkan
Pusat Analisis Industri dan Tarif Kastam menjalankan analisis terhadap pelbagai jenis produk seperti:
- Produk perusahaan utama – Analisis produk kelapa sawit, produk petroleum, makanan, minuman beralkohol, mineral dan produk farmaseutikal.
- Produk kimia dan keselamatan pekerja – Analisis produk industri kimia, sampel higen industri, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), pelaksanaan program KKP dan pemeriksaan kapal dan tangki.
- Produk industri – Analisis tekstil, produk kulit, produk bulu, produk makanan dan minuman untuk tujuan pensijilan halal.
- Identifikasi Spesis – Analisis sampel-sampel makanan, barangan pengguna dan kosmetik untuk pengesanan DNA haiwan bagi memenuhi keperluan pensijilan halal dan memastikan kualiti dan keselamatan produk-produk tersebut dengan menggunakan kaedah molekular dan kimia.
Memastikan Hasil Pendapatan Kerajaan
1. Klasifikasi Tarif
- Menjalankan analisis ke atas produk bagi tujuan penjenisan barangan berpandukan Perintah Duti Kastam 2017 untuk memastikan perolehan pendapatan negara.
- Bertindak sebagai agensi pakar dalam Tribunal Rayuan Kastam (TRK) bagi kes yang melibatkan pertikaian cukai.
- Menjalankan analisis ke atas barangan yang terlibat dalam kes penyeludupan produk ke dalam/luar negara.
- Sebagai Pusat Sehenti Analisis Minuman Bergula bagi tujuan pemantauan kandungan gula dalam minuman yang sedia diminum di pasaran dan kutipan cukai.
- Pengesahan kandungan bagi minuman beralkohol dan minyak sawit dan produk hasilan.
2. Perolehan Kerajaan
- Analisis sampel tender dan bekalan yang dihantar oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan ianya mematuhi spesifikasi kontrak yang disediakan.
Melindungi Kepentingan Pengguna
1. Penguatkuasaan Pelbagai Akta
- Menentukan komposisi dan kualiti produk untuk tujuan pematuhan kepada spesifikasi yang dikuatkuasakan di bawah pelbagai akta termasuk Akta Kastam 1967, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
2. Pengesahan Status Halal
- Analisis pengenalpastian sumber berasaskan haiwan yang tidak halal bagi produk berasaskan kulit dan bulu haiwan (seperti khinzir) untuk tujuan pensijilan halal dan pematuhan kepada Perintah Perihal Dagangan (Barang-Barang Diperbuat daripada Mana-Mana Bahagian Babi atau Anjing) 2013.
- Analisis pengenalpastian sumber yang tidak halal seperti alkohol dan bahan dari sumber haiwan yang tidak halal (seperti khinzir) di dalam sampel makanan dan minuman, barangan pengguna serta kosmetik untuk tujuan pematuhan kepada pelbagai akta yang melibatkan pengguna seperti Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri (Penyalahgunaan Tanda Halal).
3. Pengenalpastian spesis
- Analisis penentuan spesis haiwan/bakteria di dalam sampel makanan dan minuman, produk pengguna serta kosmetik untuk tujuan pematuhan kepada pelbagai akta seperti Akta Biokeselamatan 2007, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import/Eksport) 2017 di bawah Akta Kastam 1967.
- Pengesahan kandungan bahan kimia berbahaya dalam alat mainan
- Memberikan khidmat teknikal bagi pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan bagi Mainan (Pindaan) 2016) di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Memastikan Keselamatan Pekerja
1. Analisis Sampel Higien Industri
- Analisis ke atas sampel–sampel yang diambil daripada persekitaran tempat kerja bagi tujuan pematuhan kepada peraturan–peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
2. Pemeriksaan Kapal
- Pemeriksaan kapal dan tangki bagi tujuan pensijilan ‘bebas gas’ dan ‘kerja panas’ untuk memastikan kapal bebas daripada gas- gas yang mudah terbakar.
3. Klasifikasi Petroleum
- Menentukan jenis dan kelas petroleum di bawah Akta Petroleum (Langkah – langkah Keselamatan), 1984 untuk tujuan pengendalian yang selamat semasa pemunggahan produk petroleum di pelabuhan dan terminal petroleum.
4. Konvensyen Senjata Kimia
- Pemeriksa Kebangsaan (National Inspector) bagi penguatkuasaan Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
- Agensi Rujukan/Khidmat Teknikal di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 18.