Fungsi Bahagian

Bahagian Kriminalistik terlibat dengan pemeriksaan bukti-bukti fizikal yang berkaitan dengan kes-kes jenayah yang meliputi pemeriksaan senjata api, pemeriksaan kenderaan, bukti surihan dan sebagainya. Perkhidmatan juga meliputi penyiasatan tempat kejadian jika terdapat permohonan untuk kes-kes seperti pemeriksaan dan pemulihan nombor siri, kebakaran, letupan dan kemalangan .
Fungsi dan Peranan Bahagian Kriminalistik
Bahagian Kriminalistik menangani kes yang merangkumi pelbagai bidang kerja luas yang melalui dua seksyen utama iaitu Seksyen Analisis Forensik Senjata Api, Kesan Alat dan Bukti Surihan dan Seksyen Pemeriksaan Forensik Kenderaan, Kebakaran dan Letupan, seperti ketetapan berikut:
Fungsi Analisis Forensik Senjata Api, Kesan Alat dan Bukti Surihan ialah :-
• Pemeriksaan senjatapi
• Analisis sisa tembakan sejatapi
• Pemeriksaan kesan alat, kesan tayar dan kesan tapak kasut
• Analisis bukti surihan
Fungsi Pemeriksaan Forensik Kenderaan, Kebakaran dan Letupan ialah :-
• Pemeriksaan kenderaan bagi kes kemalangan trafik
• Pemeriksaan dan pemulihan nombor siri
• Pemeriksaan tayar
• Analisis bunga api/mercun
• Analisis bahan letupan
• Analisis sisa kebakaran
• Penyiasatan kebakaran dan letupan
Pemeriksaan yang melibatkan senjatapi, komponen senjatapi, peluru , komponen peluru, alat dan kesan alat. Bahan-bahan bukti dalam kes seperti ini termasuklah senjatapi yang dijumpai di tempat kejadian (rifle, pistol, shotgun), kelopak peluru dan pelbagai kelongsong dan peluru sama ada yang belum atau yang telah ditembak.


Penyiasatan Letupan
Pemeriksaan bahan bukti yang berkaitan kes letupan. Penyiasatan bahan letupan melibatkan pengenalpastian dan fungsi komponen yang digunakan untuk menghasilkan bahan letupan termasuk peralatan yang telah diubahsuai serta analisis bahan sisa letupan.



Penyiasatan Kebakaran
Pemeriksaan tempat kejadian kebakaran bagi menentukan punca kebakaran dan analisis makmal terhadap sisa kebakaran yang dijumpai di tempat kejadian kebakaran bagi mengesan bahan hidrokarbon dan bahan penggalak kebakaran yang lain.
Analisis Bukti Surihan
Analisis bukti surihan merangkumi pengenalpastian dan perbandingan jenis-jenis bahan surihan tertentu yang boleh dipindahkan semasa berlakunya kejadian jenayah. Bukti-bukti surihan adalah bahan bukti yang kecil seperti rambut, serat tekstil dan fabrik, tali, tanah, kaca, cat dan polimer, kayu serta bahan-bahan lain yang biasanya dijumpai dalam kuantiti yang sedikit.



Pemeriksaan kenderaan bagi kes kemalangan trafik
Tujuan utama penyiasatan dilakukan adalah untuk menentukan sama ada terdapat sebarang perlanggaran di antara kenderaan-kenderaan yang disyaki terlibat dalam sesuatu kemalangan dan seterusnya menentukan kedudukan relatif paling mungkin perlanggaran pertama di antara kedua-kedua kenderaan. Analisis makmal termasuklah analisis cat, plastik, kaca dan bukti-bukti surihan (seperti tanah dan serat tekstil dan fabrik) yang lain.


Pemeriksaan Tayar
Pemeriksaan tayar merangkumi pemeriksaan kerosakan roda dan tayar yang dipisahkan daripada kenderan yang terlibat dalam kemalangan bagi menentukan sebab berlakunya kekempisan atau kerosakan tayar.


Pemeriksaan dan Pemulihan Nombor Siri
Pemeriksaan merangkumi pemulihan tanda lekuk yang dibuat seperti nombor yang diketuk/distem pada permukaan objek. Contoh tanda-tanda berkenaan adalah seperti nombor chasis dan nombor enjin pada kenderaan bermotor, nombor siri pada senjatapi, dan nombor pengeluaran pada silinder gas.


Hubungi
Pengarah Bahagian Kriminalistik
Jabatan Kimia Malaysia,
Jalan Sultan,
46661 Petaling Jaya,
Selangor
Tel: +603-7985 3851
Faks: +603-7958 1173