Tanah runtuh: Analisis DNA Paterniti kenal pasti identiti korban
Akibat beli produk tiruan
LIMA wanita terpaksa menanggung derita apabila mereka mengalami simptom muntah, mual dan sakit perut selepas minum produk minuman kesihatan tiruan.
Kejadian berlaku Ahad lalu apabila semua mereka membeli produk minuman kesihatan untuk wanita itu di dua premis sekitar Bukit Jambul.
Berikutan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku terhadap mereka, semua wanita terbabit meninggalkan komen dalam Facebook syarikat pengeluar minuman kesihatan berkenaan.
Hasil daripada siasatan lanjut, pemilik syarikat mengesyaki yang semua mangsa membeli produk tiruan dan membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang.
Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan sembilan anggota KPDNHEP negeri bersama wakil pemilik cap dagang melakukan operasi 2 petang, semalam.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, Chin Ching Chung berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dan menyita 57 botol minuman kesihatan disyaki tiruan bernilai RM1,596.
“Kita dapati produk minuman tiruan untuk kesihatan wanita itu dijual dengan harga RM18 sebotol berbanding yang asli bernilai RM32.
“Pemilik premis didapati sudah setahun menjalankan perniagaan di situ dan ketika ditanya pemilik mendakwa mereka tidak tahu sama ada produk yang dijual itu palsu atau tidak,” katanya.
Ching Chung berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menghantar sampel kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi mengetahui kandungan yang ada dalam produk terbabit.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan,” katanya.
Beliau berkata, pengguna dinasihatkan berhati-hati sekiranya ada ejen atau pemborong yang menawarkan produk pada harga terlalu murah kerana kebiasaannya produk tiruan kelihatan hampir sama dengan yang asli.
“Bagi produk tiruan yang dirampas ini, kita dapati ada beberapa perbezaan yang amat ketara dengan produk asli antaranya bau, kepekatan minuman dan juga warna bungkusan yang sedikit pudar.
“Selain itu, pengguna juga boleh mengenal pasti sama ada produk itu asli atau tiruan dengan menggunakan kaedah scan ‘QR Code,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Gajah mati di Lahad Datu dipercayai akibat keracunan

LAHAD DATU: Bangkai gajah yang ditemukan di sebuah ladang sawit di Kampung Perpaduan Skim Begahak, Jalan Tungku dekat Bakapit pagi Isnin, dipercayai mati akibat keracunan.
Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata sepasukan pegawai veterinar daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah diketuai Dr Bong Ai Yin telah melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah betina itu kira-kira pukul 9 pagi tadi, dan beberapa sampel telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
“Gajah itu dianggarkan berumur 20-25 tahun dan dipercayai mati antara enam hingga lapan jam, sebelum ditemukan pekerja ladang kira-kira 7.30 pagi.
“Terdapat beberapa kesan tapak kaki gajah lain, yang dipercayai kumpulan gajah betina yang mati itu, mengelilingi bangkai itu seolah-olah melindungi gajah betina berkenaan,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini pada Selasa.
Sylvester turut memberitahu pasukan veterinar juga melaporkan terdengar bunyi sekumpulan gajah dari jauh, ketika bedah siasat dijalankan.
Penemuan bangkai gajah itu merupakan yang kelima dalam tempoh kurang empat bulan, selepas seekor ditemukan di Kalabakan, Tawau pada 25 Sept, seekor di Beluran pada 19 Okt, dan dua ekor di Kinabatangan masing-masing pada 3 dan 16 Nov.
— BERNAMA
RM2.1 juta bersih Sungai Anak Air Garam tercemar

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan menanggung hampir RM2.1 juta bagi membersihkan Sungai Anak Air Garam yang tercemar.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, siasatan awal mendapati sungai tersebut dicemari dengan sisa buangan dipercayai serbuk hitam berminyak yang sengaja dibuang sehingga menyebabkan air sungai bertukar warna hitam dan berbau.
“Sungai ini dicemari bahan kimia, namun kita tidak pasti lagi apa jenis kandungan bahan kimia tersebut. Sampel air telah diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.
“Kerja-kerja pembersihan sungai sudah pun dilakukan sejak awal pagi tadi dan sebanyak dua lori tangki sisa buangan minyak itu berjaya disedut keluar dan akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Sendayan.
“Kerja-kerja pembersihan akan dilakukan selama beberapa hari bagi memastikan semua sisa buangan tersebut benar-benar bersih dan air sungai bebas daripada sebarang pencemaran,” katanya ketika membuat tinjauan ke lokasi kejadian di Sungai Anak Air Garam, Rasah di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Penguatkuasaan Operasi, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Siva.

Tambah Veerapan, air sungai yang tercemar itu sudah mengalir lebih 1 kilometer daripada lokasi awal pencemaran di longkang awam Taman Desa Rasah, namun belum sampai ke Sungai Linggi.
Katanya, jika dibiarkan, air yang tercemar itu akan mengalir ke Sungai Mambau dan memasuki Sungai Linggi yang mana sungai tersebut merupakan salah satu punca air mentah untuk Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat dan mengesan individu yang terlibat untuk diambil tindakan.
Katanya, jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda RM500,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengesan pencemaran yang berlaku di Sungai Anak Air Garam selepas menerima aduan awam.
Katanya, JAS telah menjalankan siasatan di beberapa lokasi antaranya Taman Desa Rasah serta Kampung Batu 3, dan mendapati telah berlakunya pencemaran yang bermula dari sisa yang dibuang di longkang awam di Taman Desa Rasah yang seterusnya memasuki Sungai Anak Air Garam.
Sumer : Sinar Harian
Sisa kimia mengandungi bahan buangan terjadual

KUALA SELANGOR – Pembuangan sisa kimia di dua lokasi berhampiran Jalan Kapar, Batu 16, Kampung Tambak Jawa disyaki mengandungi bahan terjadual iaitu pelekat atau glu (SW303), bahan buangan getah (SW321) dan bahan buangan pelarut organik (SW332).
Menerusi satu kenyataan, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata, buat masa ini sampel kandungan bahan buangan itu telah diambil dari tong dan tanah yang tercemar untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis komposisi serta kandungannya.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan, pemulihan dan pelupusan di tapak lokasi berkenaan juga akan dilaksanakan oleh pihak Kualiti Alam Sdn Bhd dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM1 juta.
“Pemilik tanah telah dikenal pasti dan tindakan rampasan tanah boleh diambil melalui Kanun Tanah Negara.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Kuala Selangor juga akan melaksanakan kawalan keselamatan 24 jam sehingga sisa kimia dibawa keluar dari dua lokasi terlibat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, industri berkaitan juga sedang disiasat untuk tindakan Akta Kualiti Alam Sekeliling oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas ini.
Sebelum ini, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran dan letupan dipercayai membabitkan beberapa tong bahan kimia di kawasan berkenaan sekitar jam 3.29 pagi.
Susulan itu, anggota JBPM digerakkan ke lokasi kejadian dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 5.58 pagi.
Sebelum ini, UPBN Selangor juga memaklumkan akan membina parit sementara di sekitar kawasan terbabit dan pihaknya masih menunggu penilaian dibuat oleh Unit Kualiti Alam Sekitar sebelum melupuskan sisa tersebut.
Sumber : Sinar Harian
