Oleh Mohamed Farid Noh – September 17, 2020 @ 3:48pm farid_noh@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia bagi meneliti mekanisme terbaik untuk mengenal pasti pelitup muka perubatan yang tidak mengikut piawaian di pasaran.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata ia susulan ujian secara rawak terhadap beberapa produk pelitup muka perubatan tiga lapisan di pasaran mendedahkan ada antaranya langsung tidak mempunyai bahagian penapis dalaman (filter) walaupun rupa bentuknya sama seperti pelitup muka berkualiti tinggi.
Katanya, ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat jika mereka tidak menyedari menggunakan pelitup muka tidak mengikut piawaian atau tiruan.
“Kita membuat ujian rawak terhadap beberapa produk pelitup muka perubatan tiga lapisan dengan alat khas di sini hari ini dan hasilnya ada pelitup muka perubatan yang seperti produk asli penampilannya namun ia sebenarnya tidak mempunyai bahagian penapis dalaman (filter) langsung.

“Malah ujian lanjut dilakukan ia langsung tidak mampu menapis habuk apatah lagi kuman walaupun baru digunakan berbanding pelitup muka perubatan tiga lapisan yang asli yang mempunyai daya tahan tinggi dan tidak ditembusi partikel berbahaya di bahagian dalamannya.
“Ini amat berbahaya ketika kerajaan bersungguh-sungguh mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat,” katanya sidang media selepas melawat Kilang Pelitup Muka Durio, di sini, hari ini.
Beliau berkata kementerian juga menimbang keperluan memperluas atau mewajibkan alat atau mesin khas ujian pelitup muka yang ketika ini hanya ada dua di negara kita iaitu di Kementerian Kesihatan dan sebuah kilang di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full.
Rosol berkata, ujian dilakukan juga mendapati pelitup muka perubatan tidak mengikut piawaian akan mengeluarkan debu apabila dipakai dalam tempoh panjang sekali gus dibimbangi memberi kesan kesihatan kepada pemakainya.
“Pengguna yang berhadapan masalah sebegitu apabila memakai pelitup muka perubatan yang dibeli diminta membuat aduan terus kepada KPDHEP supaya ujian lanjut dapat dilakukan terhadap jenama pelitup muka itu.
“Ada juga produk pelitup muka perubatan yang tidak mengikut piawaian ini turut dijual pada harga sama dengan produk berkualiti tinggi sedangkan ia tidak menepati spesifikasi Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Rosol berkata, Malaysia kini mempunyai 15 kilang pelitup muka dengan kapasiti pengeluaran 100 juta keping sebulan.
“KPDNHEP menyarankan rakyat membeli dan menggunakan produk pelitup muka perubatan keluaran negara bagi memastikan kualitinya tidak dikompromi, ” katanya.
