Oleh Mohd Amin Jalil
bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil sebanyak enam sampel bahan buangan yang dibuang pihak tidak bertangungjawab hingga mencemar Sungai Linggi, di sini,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata Jabatan Kimia akan menganalisis sampel berkenaan.
Katanya, JAS, Badan Kawal Selia Air dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menjalankan siasatan di sepanjang lembangan Sungai Linggi sebaik menerima aduan mengenai pencemaran itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati sisa buangan yang dibuang dalam bentuk cecair berwarna hitam dan berbau seperti pelarut.
“Kawasan tercemar yang ditemui berhampiran Jalan Tok Ungku, Rasah itu berdekatan dengan alur air yang mengalir ke Sungai Linggi,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.
Veerapan berkata, kerja pembersihan tapak, pembungkusan, pengangkutan dan pelupusan di lokasi kejadian turut dilaksanakan oleh agensi yang dilesenkan oleh JAS.
Beliau berkata, kerja-kerja menyedia dan meletakkan beg pasir pula bagi mengepung kesan buangan dari memasuki ke alur air dijalankan oleh pihak Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan dipantau oleh JAS bersama agensi lain, termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kerajaan negeri memandang serius perbuatan itu kerana menyebabkan punca air tercemar dan kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pemulihan dan pembersihan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu tiada seorang pun boleh melupuskan apa-apa buangan terjadual di darat atau ke dalam perairan Malaysia.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.
SAINS menutup Loji Rawatan Air Sungai Linggi kelmarin yang menjejaskan bekalan beberapa rumah di Port Dickson dan sebahagian di Seremban kira-kira 24 jam.