You are currently viewing Mangsa mati akibat hentakan di kepala

Mangsa mati akibat hentakan di kepala

Harian Metro >>Balqis Jazimah Zahariam@hmetro.com.my

SIASATAN penemuan mayat wanita yang terapung di Sungai Kuala Kampar berdekatan jambatan dari Malim Nawar ke Tanjung Tualang, Kampar pada 5 Julai lalu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terdapat unsur jenayah pada si mati.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah hentakan objek tumpul di kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasron berkata, sehingga kini identiti mayat masih belum dapat dikenal pasti.

“Tiada individu atau waris yang tampil bagi mengenal pasti dan menuntut mayat terbabit.

“Polis masih menunggu keputusan ujian toksikologi dan perbandingan DNA dari Jabatan Kimia Malaysia sebagai usaha mengenal pasti identiti si mati,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengesan waris si mati masih diteruskan oleh pihak polis dan mayat masih berada di bilik mayat Hospital Kampar.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mayat ditemui penduduk kampung yang memancing berdekatan kawasan sungai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:14 PM