Skip to content

Laman Web Rasmi JABATAN KIMIA MALAYSIA

FAQ
Soalan Lazim
Hubungi
Hubungi Kami
maklumbalas
Aduan & Maklumbalas
petalaman
Peta Laman
Laman Utama » Pencemaran Sungai Meru dipercayai daripada kilang sarung tangan

Pencemaran Sungai Meru dipercayai daripada kilang sarung tangan

Ppembuangan sisa buangan di Meru

BERITA»Nasional Jumaat, 10 April 2020 | 7:38pm

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan pencemaran Sungai Meru di kawasan Perindustrian, Jelapang, Ipoh, Perak dipercayai berpunca daripada pelepasan sebuah kilang sarung tangan getah, di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat perkara itu.

Katanya, tindakan undang-undang akan disegerakan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Beliau berkata, pencemaran sungai itu menyebabkan ratusan ikan dan hidupan air mati dalam jarak 1.5 kilometer (km) di sungai berkenaan.

Katanya melalui siasatan JAS yang diadakan hari ini mendapati pencemaran sungai itu berpunca daripada pelepasan bahan mentah sintetik latex dari kilang membuat sarung tangan ke longkang awam dan mengalir ke sungai berhampiran.

“JAS Perak juga sudah mengambil persampelan dari dalam kilang dan longkang awam berhampiran untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk siasatan, ” katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Semalam, beliau menerima aduan membabitkan unsur pencemaran sungai itu dari orang awam.

Pihaknya menghubungi pengadu dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara itu dan mengarahkan siasatan dijalankan pagi tadi.

Tuan Man berkata, sampel ikan yang mati dari beberapa lokasi sungai itu turut diambil dan dihantar ke Jabatan Perikanan Perak untuk dianalisis.

Katanya, pemantauan menggunakan dron juga diadakan bagi memastikan keadaan sungai di hilir lokasi kejadian.

“Pihak kilang diarahkan untuk menjalankan pembersihan di dalam longkang awam dan sungai sehingga selesai.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya akan diambil.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya memberi amaran keras kepada semua kilang yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan semua alat kawalan pencemaran berfungsi dengan baik dan pengurusan buangan terjadual dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, ia bertujuan mencegah berlaku pencemaran yang berpotensi memberi risiko kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Skip to content