info blue green red info back decreasefont increasefont back
facebook twitter youtube instagram rss

Penghormatan kepada pakar Jabatan Kimia kita

(Sumber : Daily Express online)

Oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Beberapa minggu ini, pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di KLIA2 menggemparkan negara dan dunia. Pihak berkuasa bertindak segera, mengajak pelbagai agensi untuk menyiasat kes itu, termasuk Jabatan Kimia Malaysia, atau KIMIA Malaysia.

Dengan kepakaran analisis saintifik mereka, mereka memeriksa dan menganalisis barang kes berkaitan kes itu dan mendapati VX, ejen saraf yang diharamkan seperti yang tersenarai dalam Konvensyen Senjata Kimia.

Ini hanyalah satu daripada pelbagai kes yang dikendalikan KIMIA Malaysia setiap tahun., sejak ia ditubuhkan lebih seratus tahun yang lalu. KIMIA Malaysia, agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), telah ditubuhkan pada tahun 1909 dan telah dibangun lebih 108 tahun lalu untuk mencapai pengiktirafan sebagai peneraju dalam kimia analisis dan sains forensik.

Setakat 2017, ia mempunyai 13 cawangan di seluruh Malaysia dengan dua di Sabah dan ibu pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor. KIMIA Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam penguatkuasaan dan pemantauan undang-undang dan prosedur untuk memastikan orang ramai selamat, untuk menjaga kebajikan rakyat dan untuk melindungi alam sekitar. Selama ini, hasil kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, jabatan forensik telah lebih bersedia untuk menyelesaikan jenayah. Teknik DNA dan peralatan saintifik terkini misalnya telah membolehkan laporan lebih tepat. Kita juga boleh membentuk kepakaran dalam bidang yang khusus seperti untuk menganalisis ejen ejen senjata kimia.

Kita telah menggunakan analisis DNA untuk memeriksa barang kes dan kemudiannya digunakan sebagai bukti di mahkamah undang-undang. Beberapa kes berprofil tinggi yang tebaru yang melibatkan analisis DNA telah digunakan untuk :

  • Mengenal pastimangsa dalam gempa bumi 2015 di Sabah, di mana 18 kematian didaftarkan di Gunung Kinabalu.
  • Mengenalpasti mangsa penerbangan MH17, yang ditembak jatuh di zon perang di sempadan Russia-Ukraine pada 2014. Seorang pakar KIMIA Malaysia menyertai pasukan antarabangsa untuk beberapa minggu di The Hague, Balanda.
  • Mengenal pasti mangsa dalam operasi “Ops Daulat” konflik Lahad Datu pada 2013 di antara tentera kita dan militan dari Sulu. 10 anggota keselamatan dan 65 pengganas dilaporkan terbunuh

Pakar-pakar kita dalam bidang forensik juga tersedia dalam bidang narkotik, toksikologi, sains penyiasatan jenayah dan pemeriksaan dokumen. Kerja-kerja di Jabatan Kimia adalah luar biasa. Kemudahan pemprosesan dadah haram yang baru muncul di Negara ini misalnya, telah memberi cabaran baharu kepada mereka di makmal narkotik kerana ia melibatkan bahan kimia yang tidak diketahui dan kadang-kadang sangat berbahaya.

Mereka bekerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia dalam mengambil tindakan terhadap pengedar haram dadah seperti heroin, ketamin, syabu dan pil psikotropik. Bahan-bahan ini kemudiannya diserahkan kepada KIMIA Malaysia untuk analisis.

Sekiranya berlaku kemalangan jalan raya seperti kemalangan Genting Highland pada 2013, di mana sebuah bas awam terbabas ke dalam gaung yang mengorbankan 37 orang, KIMIA Malaysia akan menghantar satu pasukan pemeriksaan fizikal untuk melakukan siasatan di lokasi.

Selain forensik, KIMIA Malaysia juga menyediakan beberapa perkhidmatan saintifik yang lain. Salah satunya ialah untuk melindungi kesihatan awam dengan memastikan keselamatan makanan, air minum dan alam sekitar. Mereka perlu memenuhi Akta Makanan dan Peraturan-Peraturan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan peraturan alam sekitar masing-masing. Dalam perdagangan dan industry, KIMIA Malaysia menyediakan khidmat nasihat kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Mereka akan mengeluarkan laporan analisis yang membantu kastam untuk menentukan kod tariff bagi setiap produk, seperti petroleum dan minyak sawit.

Dalam prosiding undang-undang terhadap individu yang disyaki menyeludup rokok dan minuman keras, laporan ahli kimia KIMIA Malaysia akan diperlukan untuk pendakwaan. Oleh kerana laporan analisis membawa akibat yang serius, kakitangan di KIMIA Malaysia menjulang integriti untuk memastikan kesahihan dan kebolehpercayaan laporan. Prosedur ini dijamin dari segi kualiti dan diiktiraf untuk memenuhi piawaian antarabangsa.

Peluang kerjaya bagi ahli kimia di negara ini sangat banyak. KIMIA Malaysia merupakan satu-satunya majikan terbesar kimia dan graduan berkaitan kimia. Mereka bergabung dengan Institut Kimia Malaysia (IKM), sebuah badan professional berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Kimia 1975 untuk mengawal selia profesion ahli kimia di Malaysia.Dianggarkan 6,000 ahli professional kimia bekerja di negara ini, dengan kira-kira 1,000 dalam sektor awam (tidak termasuk pendidikan) dalam pelbagai kapasiti.

Dalam sektor swasta, ahli kimia diambil bekerja dalam analisis dan ujian, kawalan kualiti dan Pembangunan produk, jualan dan pemasaran, pengeluaran dan pembuatan, dan akhirnya, beberapa jawatan pengurusan. Memandangkan ekonomi kita berhijrah ke arah automasi dan kecekapan tenaga, lebih ahli kimia dalam pelbagai sub-bidang di bawah program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan diperlukan.

KIMIA Malaysia bekerjasama secara aktif dengan IKM dan agensi-agensi lain dalam mempromosi program STEM untuk pelajar dan belia, membina kesedaran untuk ahli kimia sebagai profesion. Kita mahu memberi motivasi kepada generasi muda kita agar inovatif dan kreatif dalam pemikiran mereka bagi mempersiapkan mereka untuk masa depan pekerjaan.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia kita atas perkhidmatan yang setia dan professional mereka terhadap negara ini untuk abad yang lalu, kerana mengaplikasikan sains dan teknologi untuk kebaikan rakyat.

.

 

Kemaskini: Mac 24, 2017 pada 12:21 pm

Tags: